Tuesday 8 March 2016

Hujan Bulan Mac



Bismillahirrahmanirrahim

Kali ini aku menulis dengan hati

Di tengah-tengah situasi aku tengah tertekan dan stress, aku tak tahu kenapa aku memilih untuk menulis sebagai cara untuk aku menghapuskan tekanan dan kesunyian yang aku rasa ni.

Perjalanan aku pergi balik ke kelas dan ke tempat kediamanku tidak lagi seronok dan gembira seperti sebelum ini. Kepala aku terasa berat dan serabut dengan segala masalah yang datang serentak. Seolah-olah tanpa belas kasihan membelasah hatiku sampai lunyai. Diasak dan diasak sampai dada aku rasa sempit. Kadang rasa susah nak menghirup udara. Asakan psikologi juga boleh memberikan kesan yang dapat dirasakan secara fizikal. Aneh. Tapi itulah yang berlaku.

Setelah tamat kelas hari ini, aku ingin pulang ke tempat kediamanku. Tiba-tiba air dari langit hinggap bahuku dan tak lama kemudian sekejap sahaja melebat. Hujan hari ini dirasakan luar biasa lebat dan limpahannya. Habis lencun satu badan termasuk pakaian-pakaianku dan apa-apa sahaja yang berada dalam begku. Jam menunjukkan pukul 5:38 petang. Aku singgah ke
surau kolej serumpun untuk menunaikan solat fardhu asar sementara waktu masih berbaki. Sejuk. Lantas kutanggalkan pakaian di badan yang basah kemudian kusidai. Sementara itu, aku buka komputer riba dan mula menulis entri ini.

Sebenarnya aku tak tahu aku nak tulis apa pun. I just write. Aku rasa bertambah tenang pada setiap askara kata yang aku hamburkan di sini. Kualiti? Lantaklah. Walaupun tiada objektif dan tujuan dalam tulisan ini, tapi aku suka. Mungkin inilah diriku yang lama dilupakan. Yang dulunya suka menulis. 

Tajuk ini pun aku main ambil sahaja ikut apa yang berlaku di sekitarku. Bulan Mac. Hujan. 


But somehow.. Aku boleh relate kan tajuk entri ini dengan situasi hidup aku juga. Seolah-olah hujan ini menggambarkan perasaan dan hati aku sekarang. Hujan lebat. Perasaan dukacita dan tenang bercampur baur. Kadang aku lihat hujan, kurasakan kesedihan. Kadang aku lihat hujan, kurasakan juga ketenangan. 

Walaubagaimana lebat pun hujan ini, aku tahu ia takkan kekal lama. Pasti suatu masa ia akan berhenti. Masa menjadi penentunya. Bunyi titisan hujan ibarat ribuan peluru meresahkan jiwa manusia. Bila ia mulai reda, rasa resah dan sedih juga akan mulai lenyap. Kita dapat rasakan kebebasan itu seolah-olah datang kembali untuk kita. Dan bila ia berhenti, maka mentari pula mencerahi langit hati lalu menerbitkan pelangi nan indah.


“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,  
(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Innalillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (sesungguhnya kami berasal dari Allah, dan kepada-Nya pula kami kembali).’  
Mereka itulah yang mendapat keberkahan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” (Al-Baqarah: 155-157)

***


Ujian, cabaran, tekanan dalam kehidupan takkan pernah terpisah daripada menjadi salah satu takdir yang pasti untuk kita manusia biasa. Apatah lagi bila bergelar orang yang beriman, pasti akan diuji oleh Allah SWT.


“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabut:2)

Aku sedar ujian ini bukanlah tanda Tuhan benci, sebaliknya untuk aku sedar yang sebenarnya aku berada dalam perhatian-Nya. Aku positif. Aku tahu Allah SWT berikan ujian ini sesuai dengan kemampuan untuk aku atasinya.


"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya..." (Al-Baqarah: 286)

Hujan dah berhenti. Masa untuk kita kembali meneruskan langkah.

Ingatlah. Hakikatnya bukan air hujan yang selalu melimpah. Tetapi yang selalu melimpah itu adalah rahmat Allah. Cuma kita yang perlu memerhati hikmah di sebaliknya.


Wallahua'lam.

MNA
8 Mac 2016, 07:25 PM
Serdang, Selangor.

1 comment: