Tuesday 7 July 2015

Tadabbur Surah Ali Imran ayat 102 -103



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


Allah swt berfirman dalam surah 3 ayat 102 dan 103



Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan kamu ( mati dalam keadaan beragama) Islam. (Ali Imran 3:102).

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati-hati kamu, lalu menjadilah kamu, karena nikmat Allah, orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (Ali Imran 3:103)

Untuk kita

Firman Allah swt tersebut dimulai dengan menujukan kata-kata-Nya spesifik kepada satu golongan. Bukan sesiapa. Bukan untuk orang Kristian dan Yahudi. Bukan juga untuk orang beragama Buddha, Hindu, Zoroastrian mahupun Ateis. Tetapi Allah tujukan untuk orang-orang yang beriman. 

Orang yang pernah mengucapkan syahadah, melakukan solat fardhu 5 kali sehari dan berpuasa pada bulan Ramadhan. Allah sedang tujukan kata-kata ini KHAS untuk orang-orang ini. Tidak dihadkan kepada orang-orang beriman pada zaman dahulu semasa nabi Adam. Tidak pula ayat ini ditujukan terhad kepada orang beriman zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya sahaja semata-mata. Tidak. Ayat ini tidak dihadkan dalam satu lingkungan waktu yang khas. Ayat ini merentas waktu dan zaman. Sesiapa sahaja yang beriman pada hari ini, yang mengikuti ajaran Islam yang tulen dan lurus seperti syariat Muhammad bin Abdullah Rasulullah s.a.w., ayat ini untuk anda. Ayat ini untuk kita.

Takwa yang sebenar kepada-Nya


Takwa dengan erti kata, berhati-hati dalam segala perkara. Berhati-hati agar tidak melanggar syariat dan peraturan Allah yang membahagiakan hamba-hambaNya dunia dan akhirat.
Takwa dengan erti kata, sentiasa meneliti tindak tanduk kita agar tidak lalai dan leka sehingga terjerumus dalam kecelakaan.
Takwa dengan erti kata, kepada-Nya semata-mata. Bukan bertakwa kepada wang ringgit. Bukan bertakwa kepada mak ayah, kawan-kawan, ustaz ustazah mahupun pemerintah.
Tapi takwa itu selayaknya kepada Dia sahaja. Raja kepada segala raja. Penetap undang-undang alam yang mutlak lagi tertinggi.



Jangan mati kecuali...

Jangan sesekali mati melainkan dalam beragama Islam. Allah Maha Mengetahui bahawa hamba-hambaNya tidak tahu bilakah mereka akan mati. Namun tetap sahaja Allah memberitahu kita bahawa jangan sesekali kita mati dalam keadaan selain daripada berislam.

Hikmah disebalik perintah Allah itu adalah supaya kita tetap terus hidup sebagai seorang beriman dan tetap tegar dalam melakukan amal-amal Islam. Tetap terus menerus berusaha menjaga keimanan dan tidak boleh berhenti sekerat jalan untuk berpaling balik ke belakang (murtad, futur, bermaksiat) walau sebentar. Kerana kita tidak tahu bila kita akan mati. Mungkin saat akan datang ini atau mungkin esok. Siapa tahu? Apa yang kita tahu, kita perlu terus istiqamah dan berkomitmen dalam mencari keredhaan Allah pada setiap masa dan ketika sebagai persediaan. Itulah takwa.


Bersama memegang SATU tali


Berpeganglah pada tali Allah secara berkumpulan. Demi membawa beban amanah sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. di atas muka bumi ini, Allah memerintahkan agar kita tetap teguh mempercayai dan mempraktikkan ajaran agama Allah yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Kerana kita pada hari ini terlihat ramainya manusia yang memegang pada tali-tali yang menghubungkan mereka dengan neraka dan kebinasaan. Pelbagai tali yang dipegang. Walaupun mereka berpegang secara berkumpulan, namun hakikatnya mereka perkumpulan mereka rapuh dan mudah berpecah-belah kerana tiada asas yang kuat untuk menggenggam mereka bersama. Ibarat benang-benang yang terhimpun banyak, tetapi tiada kekuatan yang dapat dibina sekiranya api datang menjilat.

Akan tetapi bagi mereka yang berpegang pada tali agama Allah yang SATU sahaja tiada duanya, maka walaupun ternampak mereka itu seolah-olah saling berbeza kefahaman dan pemikiran, tetapi mereka itu sebenarnya bersatu padu sebagai satu kekuatan. Dihubungkan dengan nikmat keimanan yang tulen dan suci. Sebagai contoh 4 mazhab yang berbeza dalam aliran Ahlus sunnah wal jamaah, berbeza pendapat, tetapi tetap berpadu dalam satu kekuatan dan berpegang kepada satu tali yang kukuh. Dan mereka tidak sesekali berpecah-belah dengan mengkhianati Allah.

Memperingati nikmat persaudaraan


















Setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Di setiap kesusahan ada kemudahan [1] . Pertengkaran yang berlaku dalam perhubungan sesama manusia sedikit sebanyak mengendurkan tali  dan melemahkan kekuatan perkumpulan tersebut. Secara tidak langsung, pertengkaran dan perselisihan ini jika tidak diperbetulkan, akan menyebabkan kita, orang yang beriman, semakin jauh dari Allah. Jika tidak diselesaikan segera, mungkin akan mengundang kekalahan dan kehinaan. 

Maka hendaklah kita, apabila mengahadapi situasi sulit tersebut, memperingatkan antara satu sama lain akan nikmat Allah s.w.t. yang telah dilimpahkan ke atas kita semua. Allah yang telah mentakdirkan kita berpegang pada tali yang sama sejak azali lagi. Inilah satu destiny yang Allah tentukan dan sudah pasti Dia tidak meletakkan takdir ini main-main [2]. Dulu kita jahil, kita berpegang kepada tali kejahilan yang berbeza-beza. Jika tidak kerana Allah mempertemukan kita, mungkin kita akan terus menerus memegang pada tali-tali kejahilan. Dengan asbab pertemuan kita dalam satu perkumpulan inilah, maka di situ Allah s.w.t. sebenarnya telah melimpahkan nikmat halawatul iman dan ukhwah kepada kita, kemanisan iman dan ukhwah. 

Justeru, ingatlah akan nikmat-nikmat yang telah menyelamatkan kita daripada terjerumus ke dalam jurang api neraka [3]. Kembali kepada Allah, asbab penyatuan hati-hati kita.


Supaya orang beriman itu mendapat hidayah

Begitulah cara Allah s.w.t. memberikan kita, orang-orang beriman ini, hidayah. Walaupun kita telah pun memegang status sebagai orang yang telah mengimani Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. dan telah dikatakan mendapat hidayah, namun tetap sahaja sebagai seorang hamba biasa, kita memerlukan bimbingan daripada Allah s.w.t. dalam segala urusan. Kerana manusia itu sifatnya pelupa dan perlu sentiasa diperingati. 

Allah menerangkan penyelesaian bagi satu-satu masalah dalam kalam-Nya, iaitu al-Qur'an. Bermakna sumber hidayah petunjuk salah satunya adalah al-Qur'an. Sekiranya terdapat persengketaan dan permasalahan, hendaklah kembali kepada al-Qur'an. Kerana Al-Qur'an adalah sumber penyelesaian masalah yang ada dalam dunia ini [4]. Al-Qur'an is the problem solver of all problems in the world.

Konklusi

Orang-orang beriman seperti kita dianjurkan oleh Allah s.wt. untuk bertakwa dan meneruskan ketakwaan dan keislaman kita sehingga kita menghembuskan nafas yang terakhir. Jangan sesekali berdalih untuk mengkhianati nikmat Isalam walau sebentar

Tetaplah kita semua teguh dan tegar dalam memegang amanah sebagai khalifah Allah dan da'i. Tetap terus berdakwah menyeru dan memperingati orang lain untuk memegang satu tali kebenaran yang sama [5]. Jangan berpecah belah dengan mengkhianati nikmat keimanan dan persaudaraan yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Ingatlah bahawa dengan asbab takdir persaudaraan inilah, Allah telah menyelamatkan kita daripada menjadi sesat. Allah s.w.t. yang telah mengeluarkan kita daripada kegelapan kepada cahaya [6]. 

Mungkin kita pernah dengar tentang ungkapan daripada seorang jutawan dan penulis buku terkenal, Robert T. Kiyosaki :

"
The problem with this world is that there aren't enough problem solvers."  [7]

Al-Qur'an adalah semestinya penyelesai masalah sepanjang zaman yang hebat. Kerana ia berfungsi sebagai 'menerangkan segala-galanya'
Tetapi setakat hari ini yang dapat dilihat lebih banyak kezaliman (masalah) berbanding kebajikan (penyelesai masalah)
berapa banyak ayat-ayat Allah dipertuturkan dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah?
Dan berapa ramai pula yang beramal dengan ayat-ayat Allah yang telah diperingatkan itu? 

Apa usaha dan peranan kita untuk menegakkan Islam dalam diri?

















Buka telegram, PM diri sendiri.

Wallahua'lam

"Aku menulis supaya aku tidak lupa."

Aiman Achim
0847 Hrs (GMT +8)
8 Julai 2015 / 21 Ramadhan 1436
Serdang, Selangor

















Rujukan:

[1] Al-Insyirah 94:5-6
[2] Al-Mukminun 23:115
[3] Hadith ke-4, Kitab Hadith 40 Arbain An-Nawawi
[4] An-Nahl 16:89
[5] Ad-Dzariyat 51:55
[6] Ali Imran 3:27

No comments:

Post a Comment