Monday 2 November 2015

[Tadabbur] 17:18 - Bakhilkah kita?



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Allah subhanahu wa ta'aala berkata dalam ayat ke-18 dalam surah al-Israa' :

"Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam, untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi terusir."
Segala pujian selayaknya milik Allah S.W.T., satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan ditaati segala perintah-Nya dan dijauhi segala tegahan-Nya.

Allah S.W.T. dalam mengurniakan kepada kita pelbagai nikmat kehidupan di dunia ini. Antara nikmat-nikmat tersebut adalah seperti nyawa, kesempurnaan fisik tubuh, kesihatan, harta-harta, tempat tinggal untuk berehat dan berbagai-bagai lagi nikmat dunia yang telah Allah kurniakan kepada kita tak terhintung banyaknya. Supaya dengan nikmat-nikmat tersebut, kita mampu melaksanakan amanah kita sebagai manusia yang lemah dan sekaligus sebagai hamba Allah S.W.T. Seperti yang Allah telah beritahu kepada kita tentang tujuan penciptaan kita dalam surah ad-Dzariyat ayat 56:




Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Namun, sungguhpun begitu firmannya Allah S.W.T., masih ramai lagi manusia-manusia di dunia sekarang ini telah menyimpang dari objektif dan matlamat hidup mereka diciptakan. Kebanyakan manusia telah melampaui batas dan memilih kehidupan untuk menyembah hawa nafsunya sebagai tuhan lain berbanding menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa, tiada sekutu baginya.

Ya, telah jelas bahawa hawa nafsulah yang telah menyebabkan manusia terkeliru dalam memilih jalan yang betul untuk ditempuhi bilamana bertemu dengan persimpangan-persimpangan dalam membuat pilihan. Maka kesilapan yang disebabkan oleh penguasaan hawa nafsu terhadap jiwa seseorang itu telah mengakibatkan mereka memilih dunia melebihi akhirat.

Perlu difahami tiada salahnya mencari dunia, kerana kenikmatan di dunia ini telah Allah kurniakan buat manusia supaya mereka mampu menjalani kehidupan dan menjadi sarana-sarana untuk mematuhi syariat Allah S.W.T.

Tapi yang salahnya adalah apabila kenikmatan dunia itu telah menjadi pilihan yang lebih penting atau prioriti berbanding akhirat apabila dua perkara tersebut bertembung dan hanya satu sahaja pilihan yang boleh dibuat. Kerana salah faham dan kekeliruan manusia dalam menentukan prioriti akhirat dan dunia, maka itulah yang menjadi sebab mengapa Allah mencela mereka. Mereka disediakan dengan neraka Jahannam, neraka yang paling mengerikan dan paling berat azab seksaannya.

Apakah contoh-contoh yang dikatakan memilih dunia melebihi akhirat?

Menolak untuk menginfakkan harta, masa dan tenaga untuk berdakwah di jalan Allah yakni mengajak manusia kembali dan mendekati Allah S.W.T. atas sebab merasa berat, memerlukan duit-duit tersebut untuk kepentingan diri sendiri, tak nak bazir tenaga dan masa kerana memerlukan tenaga dan masa tersebut untuk kepentingan perniagaan sendiri, kerana lebih suka ulangkaji pelajaran lebih banyak, mahu tidur banyak dan bersuka-ria untuk kononnya menghilangkan tekanan perasaan. Maka inilah sebenarnya orang-orang yang bakhil apabila diminta untuk mengorbankan kepentingan diri untuk Allah. Bahkan sebaliknya mereka mengorbankan pula hak-hak Allah demi dunianya yang sementara itu.

Sekali lagi diperingatkan bahawa bukanlah ancaman ini ditujukan kepada orang kafir semata-mata. Tetapi orang-orang beriman seperti kita lebih-lebih lagi perlu merasakan bahawa Allah sedang memberi amaran kepada kita supaya tidak menjadi bakhil apabila disuruh untuk menginfakkan harta dan jiwa (masa dan tenaga) kita untuk melunaskan hak-hak dakwah Allah S.W.T. Walaupun ketika itu keperluan duniawi kita juga mebutuhkan harta, tenaga dan masa kita, tetapi kerana kita ini hamba-Nya yang diciptakan untuk beribadah kepadanya,maka kita wajib taat kepada-Nya biarpun sanggup berkorban segala-galanya milik kita.

Dalam pengorbanan untuk Allah, itulah pengorbanan yang bukan sia-sia. Tidak merugikan kerana Allah S.W.T. sentiasa mencukupi dan menambahkan nikmat-Nya untuk kita. Kerana pengorbanan kita untuk dakwah akhirat adalah salah satu manifestasi syukur yang jelas dalam bentuk tindakan. Kata Allah S.W.T.:

A007
Dan ketika Tuhan kamu memberitahu: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan jika kamu kufur (tak bersyukur) sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Kesimpulannya

Mengapa hari ini kita lihat begitu ramai orang-orang Islam sendiri yang bakhil dalam menyumbang dan mengorbankan sedikit nikmat daripada banyak-banyak nikmat yang telah Allah kurniakan untuk kembali disumbangkan untuk menggerakkan dakwah atau usaha-usaha menyebarkan kebaikan Islam kepada masyarakat?

Orang-orang kaya begitu memilih untuk spend ribuan ringgit Malaysia setiap tahun untuk menunaikan haji setiap kali datang musim haji, berbanding menggunakan wang-wang tersebut untuk membina madrasah mendidik anak-anak muslim, membina yayasan untuk membantu muslim dan dakwah kepada orang yang bukan Islam atau mungkin dapat membina pusat pemulihan akidah di tempat-tempat yang mempunyai kadar murtad yang tinggi.

Itu lebih utama manfaat dan kesannya kepada umat. Mengutamakan kepentingan yang lebih besar berbanding kepentingan peribadi yang kecil. Menunaikan haji hanya wajib sekali sahaja seumur hidup bukan? Walaupun haji merupakan amalan yang berpahala, namun alangkah baiknya jika mereka sedar bahawa amalan menggunakan duit tersebut untuk kepentingan yang lebih besar adalah lebih besar juga pahalanya di sisi Allah S.W.T.

Alangkah

Maka mari kita semua memainkan peranan kita sebagai orang mukmin yang patuh kepada Islam yang kaffah, Islam secara total, untuk mengambil pesanan Allah S.W.T. dalam Qur'an ini untuk dijadikan pencetus kepada tindakan lanjut kita memberikan kefahaman kepada keluarga, sahabat dan masyarakat tentang keutamaan untuk mengorbankan segala-galanya milik kita di dunia ini untuk berjuang di jalan-Nya. Semoga Allah menghindari kita daripada azab-Nya di akhirat dan dikurniakan kesejahteraan, keberkatan dan ketenangan dalam hidup. In shaa' Allah.

Wallahua'lam

"Aku menulis supaya aku tidak lupa."

Aiman Achim
Selasa, 3 November 2015, 0935 (GMT +0800)
Kajang, Selangor.

No comments:

Post a Comment